Saturday, October 13

Warkah Untukmu ..








Warkah buat kamu.

Untuk lelaki papa yang tidak ada rupa.

Saya masih ingat kamu makan kurma dan maggie semasa berbuka puasa untuk beri saya makan nasi. Saya masih ingat sindiran ‘heh’ bila mereka bertanya tentang gaji. Saya tidak akan membela kamu sekiranya kamu bukan lelaki mulia yang menjaga kebajikan saya selepas kematian ayah. Kamu korbankan keringat dan tenaga seperti kerbau diikat tali untuk saya mendapatkan sehelai kertas yang bertulis ‘graduan ijazah’. Kamu daif. Tetapi kamu tidak lokek kasih sayang. Kamu peluk abah kamu yang sudah tua dan papa itu umpama kamu masih bayi yang mahu dikelek ibunya. Kamu serahkan semua duit gaji bulan ramadhan kepada adik perempuan kamu sedangkan kamu sendiri tidak ada simpanan lagi untuk membeli tiket bas.

Mereka hina kamu. Kerana kamu bukan berdarah si polan bin si polan. Mereka jengkel memandang kamu kerana kamu bukan si dot dot dot. Mereka meludah nista, mencebit kelat ke atas nama kamu. Saya sendiri malu untuk mengaku dikhalayak ramai apa takdirmu dan saya. Saya selubung wajah kamu dari masyarakat kerana saya takut terkena tempias sindrom kusta kasta. Kamu minta saya jangan temukan kamu dengan orang sekeliling saya lagi kerana cukuplah apa yang kamu telah terima. Tetapi mereka kata kita hidup dalam komuniti. Mesti temu-bertemu.

Kamu,
Saya dan kamu sama. Kalau mereka tidak setuju laras seorang hamba, mari kita berbeza. Yang kaya berkawan dengan materialnya. Yang miskin bergelumang dengan jerih perihnya. Tunggulah nanti, kita akan mendayung perahu daif kita ke haluan sana. Mereka di darat akan tetap menenggek di atas batu, mendoakan tenggelamnya si perahu.

Kamu,
Hidup ini kesempatan untuk kita menduduki ujian. Kamu takdir saya di atas dunia. Entah kita akan bertemu di alam kedua, ketiga. Kamu dan saya akan melihat antara satu sama lain. Memalingkan wajah dari lemparan batu mereka. Perisailah jasad saya meskipun dengan helaian kain, saya bersyukur. Kerana kamu sudah terlalu banyak melakukan kebaikan ke atas saya.

Media.
Kamu bukan lelaki biasa. Bukan lelaki penjawat profesional tetapi di pintu masuk rumah bertukar keji. Di luar rumah, gelandangan dengan wanita pendusta.
Kamu bukan lelaki kacak yang merengek mencubit harta orang tua sedikit demi sedikit supaya dapat menampung kamu untuk bergaya.
Kamu bukan anak derhaka yang meninggalkan orang tuanya kerana terlupa. Meninggalkan isteri demi wanita lain. Menanggalkan kasih terhadap anak kerana dadah dan judi.
Saya mahu media tahu, kamu bukan lelaki yang layak menghuni dada mereka.

Kamu itu patuh. Kepada keluarga, Tuhan, majikan malah kepada manusia biasa. Kamu bodoh, memberi peluang kepada saya malah orang lain untuk memijak, menghentak dan mengheret kepala kamu lalu berdarahlah tanpa ada yang peduli manusia apakah kamu ini merelakan makhluk Tuhan lain menguji kamu sebelum mungkar dan nangkir. Tetapi jangan tinggalkan saya. Kerana saya mahu belajar sabar seperti kamu. Berpedoman dan memiliki akal waras seorang hamba Allah.

Malah, jangan jauh dengan saya. Meskipun selebar zarah. Saya mahu terus melihat wajah kamu yang setia senyum dibawah mentari, ditampar angin dan dilambung bah.

Seandainya ramai lelaki seperti kamu, maka wanita akan bahagia.

(copy paste kisah ini dari sebuah artikel)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

kamu orng yang ke berape entah